APAKAH YANG WARIS-WARIS SI MATI BOLEH LAKUKAN JIKA TERDAPAT KEMATIAN MELIBATKAN AHLI KELUARGA?

Bagi si mati yang meninggalkan harta alih dan tidak alih, kematian boleh mencetuskan tanda tanya tentang bagaimana harta si mati perlu diuruskan, lagi-lagi jika si mati tidak meninggalkan sebarang wasiat.

Jadi, sebagai waris, pihak waris perlu mengetahui cara berdasarkan undang-undang terpakai bagi membolehkan mereka menguruskan dan mendapatkan kuasa bagi harta-harta yang ditinggalkan. 

KENAPA PENTING PENGURUSAN HARTA PUSAKA?

Pengurusan harta pusaka adalah suatu proses penentuan hak dimana seterusnya pindahmilik harta si mati boleh dilakukan secara sah kepada individu yang berhak. 

Jika melibatkan wasiat, pindahmilik akan dilakukan mengikut kehendak si mati selagi mana tidak menyalahi rukun wasiat (terutama bagi Muslim) dan faraid. Tapi proses ini akan menjadi rumit jika si mati tidak meninggalkan sebarang permintaan setelah kematian si mati.

Pengurusan harta pusaka boleh dimulakan dan dibahagikan kepada empat (4) perkara iaitu bagi:-

  1. Penentuan waris.
  2. Penentuan aset.
  3. Mengenal pasti hutang dan tanggungan.
  4. Pembahagian harta pusaka sesama waris atau benefisiari mengikut Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

Pengurusan harta pusaka adalah penting bagi memastikan waris mendapat hak mereka yang sepatutnya.

CARA MENGURUSKAN HARTA PUSAKA

Undang-undang di Malaysia telah menetapkan bahawa terdapat beberapa cara membolehkan seseorang untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir iaitu melalui:

1. Pengurusan harta pusaka kecil

Cara ini adalah dengan memohon melalui pejabat tanah/pentadbir tanah yang terdekat dengan harta tak alih dan harta alih si mati. Ini terpakai hanya apabila harta pusaka tersebut adalah ditakrifkan di bawah seksyen 3 Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955), 

“sesuatu harta pusaka termasuk harta tak alih yang terletak di Malaysia dengan/tanpa harta alih di mana nilai hartanah tidak melebih RM2 Juta”.

Masa diambil untuk proses: 6 – 9 bulan ke atas.

2. Amanah Raya Berhad

Sekiranya si mati tidak mempunyai sebarang hartanah dan harta mudah alih tidak melebihi RM600,000, permohonan boleh dilakukan dengan melantik Amanah Raya berdasarkan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995. 

Tetapi perlu diingatkan, perlantikan melalui Amanah Raya akan menjadikan mereka sebagai Pentadbir dan bukannya waris.

Masa diambil untuk proses: 1 – 2 bulan ke atas.

3. Perlantikan peguam

Bagi harta si mati yang melebih RM2 Juta dan juga ingin proses yang lebih mudah dan cepat, pihak waris boleh melantik peguam bagi mengkendalikan proses ini melalui perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Masa diambil untuk proses: 1 – 2 bulan ke atas.

Secara umumnya, proses untuk mendapatkan kuasa mentadbir melalui peguam adalah lebih cepat dan mudah berbanding dengan cara-cara yang lain dimana peguam yang akan menyediakan dokumen-dokumen untuk difailkan di Mahkamah Tinggi.

GERAN SURAT KUASA MENTADBIR (LA) DAN GERAN PROBET HARTA PUSAKA

Di Malaysia, undang-undang telah menetapkan bagi si mati yang meninggalkan surat wasiat, pihak waris perlu mendapatkan Geran Probet manakala bagi si mati yang meninggal tanpa sebarang dokumen (atau wasiat tidak sah), pihak waris memerlukan Geran Surat Kuasa Mentadbir

APAKAH PROSES MENDAPATKAN GERAN PROBET?

Jika si mati meninggalkan wasiat, permohonan perlu dibuat di Mahkamah Tinggi bagi menentukan wasiat terakhir si mati sah dan boleh dikuatkuasakan. Di dalam wasiat, si mati telah meletakkan Wasi dimana seseorang yang bertanggungjawab untuk menguruskan harta pusaka serta melaksanakan hasrat dan kehendak si mati. 

Setelah permohonan dibenarkan, Mahkamah Tinggi akan mengeluarkan satu geran probet. Selepas geran probet dikeluarkan, pengurusan harta pusaka boleh dijalankan dimana pengagihan harta kepada waris dan pembayaran hutang bagi pihak si mati boleh dilakukan. 

APAKAH PROSES MENDAPATKAN GERAN SURAT KUASA MENTADBIR (LA)?

Geran Surat Kuasa Mentadbir adalah dokumen undang-undang yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dalam melantik salah seorang waris bagi mengurus dan mentadbir harta bagi si mati yang meninggal dunia tanpa wasiat. Orang yang dilantik dalam kuasa mentadbir dikenali sebagai pentadbir.

Pentadbir selalunya dipilih dikalangan benefisiari dimana seseorang itu mempunyai hak terhadap harta pusaka si mati. Mana-mana waris yang berkepentingan boleh memfailkan permohonan bagi mendapatkan Geran Surat Kuasa Mentadbir. 

CARA MUDAH MENGURUSKAN HARTA PUSAKA

Bagi memudahkan lagi proses pentadbiran harta pusaka ini, anda boleh melantik kami dengan menghubungi kami melalui pautan WhatsApp atau emel melalui laman web kami untuk menempah temujanji!