Di Malaysia, pelbagai cara pembahagian harta boleh dilakukan oleh seseorang sama ada
melalui cara yang dipraktikkan oleh orang terdahulu iaitu wasiat ataupun melalui cara hibah iaitu bagi umat Islam. Tapi ramai orang tidak mengetahui apa perbezaan dua cara ini dan cara mana lebih menguntungkan pihak-pihak waris.
Secara asasnya, dua-dua dokumen tersebut adalah dokumen yang ditulis oleh seseorang sebelum mereka meninggalkan dunia ini. Dokumen ini akan digunakan untuk pembahagian harta-harta yang ditinggalkan oleh si mati. Setiap dokumen mempunyai syarat-syarat yang tertentu dimana elemen tersebut perlu wujud bagi membolehkan dokumen tersebut menjadi sah dan boleh diguna pakai.
Kedua-dua dokumen ini memberi kelebihan kepada bukan waris kerana ini membolehkan mereka untuk mendapatkan harta pusaka si mati walaupun mereka tidak termasuk dalam senarai waris kadim.
APA ITU WASIAT?

Mengikut Seksyen 2, Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999), wasiat ialah dokumen yang telah diikrarkan oleh seseorang sebelum mati dimana ia berbentuk arahan diberikan kepada Wasi untuk menyempurnakan urusan hartanya menurut Hukum Syarak.
Bahasa mudah, wasiat ialah satu bentuk dokumen bagi menguruskan harta pusaka si mati termasuklah perancangan dan pengagihan harta si mati.
Konsep Wasiat
Bagi orang Islam, jika pewasiat ingin memberikan hartanya kepada bukan waris atau ahli waris yang terlindung daripada menerima harta pusaka melalui faraid, pewasiat hanya dibenarkan untuk memberikan sebanyak satu pertiga (1/3) daripada baki harta setelah ditolak hutang kepada bukan waris.
Jika pewasiat memberikan lebih daripada yang dinyatakan, wasiat tersebut dikira terbatal kerana dikategorikan sebagai tidak cukup syarat melainkan pembahagian itu mendapat persetujuan waris-waris.
Rukun Wasiat
- Pewasiat
- Penerima wasiat (benefisiari)
- Harta yang diwasiat
- Sighah (lafaz wasiat)
APA ITU HIBAH?

Hibah pula adalah suatu akad yang melibatkan harta milik seseorang diberikan secara suka rela kepada seseorang yang lain ketika masih hidup tanpa sebarang balasan. Proses ini selalunya dilakukan kerana pihak pemberi atau penerima tidak mahu pembahagian dilakukan mengikut hukum faraid. Hibah tidak mempunyai sekatan seperti wasiat dalam pembahagian harta, oleh kerana proses ini adalah salah satu bentuk hadiah daripada pemberi hibah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.
Dalam Islam, Islam menggalakkan umatnya untuk menggunakan kaedah ini bagi mengelakkan sebarang pertingkaian yang akan berlaku sekiranya berlaku kematian.
Rukun Hibah
Disebabkan hibah boleh diberikan kepada orang luar, jadinya ada beberapa unsur perlu
wujud sama seperti wasiat iaitu:-
- Pemberi hibah (al-Wahib) – hendaklah sempurna akal, baligh, matang dan
merupakan tuan kepada hartanya. - Penerima hibah (al-Mawhub lahu) – hendaklah sempurna akal, baligh dan matang.
Jika penerima hibah masih dibawah umur, maka hibah boleh diberikan kepada
wali atau pemegang amanah sehingga cukup umur. - Harta yang halal, bernilai dan wujud.
- Lafaz ijab dan kabul.
Hukum Hibah
Hibah merupakan suatu amalan sunat berdasarkan firma Allah SWT yang berikut:
“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin
itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang
sedap lagi baik akibatnya”
(Surah Al-Nisa’: 4)
“…dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orangorang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang memintaminta dan (memerdekakan) hamba sahaya”
(Surah Al-Baqarah: 177)
PERBEZAAN HIBAH DAN WASIAT
Wasiat | Hibah | |
---|---|---|
Penerima | Pemberian harta kepada bukan waris | Sesiapa sahaja |
Harta | Terhad kepada 1/3 bahagian daripada keseluruhan harta kepada bukan waris (bagi Muslim) | Tiada had |
Masa berkuatkuasa | Berkuat kuasa setelah kematian | Berkuat kuasa serta-merta |
Keesahan (Validity) | Mudah dibatalkan jika dicabar oleh waris | Tidak akan terbatal jika dicabar oleh waris |
Bagi mereka yang mahu melakukan proses hibah dan ingin mengetahui lebih lanjut, anda boleh melantik kami menguruskan pengurusan dokumentasi dengan mudah! Anda boleh hubungi kami melalui pautan WhatsApp atau emel melalui laman web kami untuk menempah temujanji!